Isnin, 21 April 2014

Kek Minyak

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum.
Kek minyak. Resepi kek ni dah femes sejak tahun lepas lagi. Ramai yang mencuba, sebab ia sangat mudah dan yang penting, rasanya sedap. Sebenarnya, kek minyak ni dah berkali2, saya buat. Dah bermacam warna dan rasa. Selalunya saya lupa... dan kadang2 tu, tak sempat nak ambil gambar, dah habis. Anak2 selalu bawa bekal ke asrama. Kata mereka kawan2 suka.. Sebiji kek tu, sekali 'hadap' je... cerah!

Kalau kek minyak ni disimpan dalam bekas bertutup ia boleh bertahan beberapa hari pada suhu biasa tanpa perlu disimpan dalam peti sejuk. Mudah kan... Semakin lama disimpan, kek jadi semakin lembap.
Saya sebenarnya kurang suka kek yang manis2, jadi saya telah kurangkan sukatan susu dan minyak. Jadi kek yang saya buat tidak terlalu lembap kejadiannya dan tidak jemu dimakan. Kali pertama saya cuba resepi ni, saya dah kurangkan sukatan susu dan minyak kepada 3/4 cawan. Kemudian untuk kali yang seterusnya, saya kurangkan lagi sukatan kepada 1/2 cawan. Barulah sesuai dengan selera. Saya juga pernah tukar tepung gandum kepada tepung superfine. Ok, ini resepinya.

KEK MINYAK
sumber : marsha mohamed@myresepi

bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum * diayak bersama
1 sdt serbuk penaik * diayak bersama
5 biji telur - saya guna gred B
1 sdb ovalette
1/2 cawan gula kastor
1 cawan susu pekat - saya letak 1/2 shj jenama SAJI
1 cawan minyak - saya letak 1/2 juga
1 sdt esen vanilla
pewarna pilihan

caranya:
1. Pukul gula, telur dan ovalette dengan kelajuan tinggi hingga kembang & putih.
2. Masukkan susu pekat & pukul lagi hingga kembang & naik.
3. Masukkan minyak dan esen, pukul hingga rata.
4. Masukkan tepung dan pukul hingga sebati.
5. Bahagikan kepada beberapa bahagian, warnakan.
6. Griskan loyang, tuangkan adunan berselang seli ke dalam loyang.
7. Panaskan oven 160 c, bakar 45 minit atau sehingga masak.


TIPS,
  • Kek kat dalam gambar ni, saya guna tepung superfine dan sukatan susu dan minyak hanya 3/4 cawan.
  • Hasilnya, kek yang lembut dan sedikit lembap.
  • Sebaik masak, saya keluarkan dan telangkupkan atas redai dan saya biarkan...
  • Hasilnya... nampak tak ? apabila diterbalikkan semula, permukaan kek 'cedera' dengan kesan jalur redai. Sayangnya.... mungkin juga sebab teksturnya yang lembut itu.... tak apalah. Lain kali, saya akan lebih berhati-hati. Corak pun tak cantik sebab saya cuma tuang keliling loyang saja.
  • Untuk kali yang seterusnya, saya sapukan permukaan kertas minyak dengan minyak masak. Kemudian telangkupkan kek keatasnya. Hasilnya..., sangat baik. Kek saya dah tak cedera dah! Cantik je...
  • Saya buat lagi kek minyak ni untuk kesekian kalinya. Kali ni saya alas loyang dengan baking paper. Setelah kek masak, saya cuma angkat je kek keluar dari loyang dengan memegang bucu kertas. Lebih mudah! tak perlu diterbalikkan lagi.
  • Kalau nak buat corak belang2 tu, bahagikan adunan sama rata. 
  • Kalau nak belangnya kelihatan banyak dan nipis, tuang sikit2 je. Contohnya, setiap adunan dua sudu besar.
  • Kalau nak belangnya kelihatan tebal, sukatlah satu senduk ke...
  • Kalau nak mudah, tuang agak2 je... ikut suka hati kita. Tak perlu bersukat2, renyah dan lambat.

Kepada yang belum mencuba, tunggu apa lagi.... kalau dah memang suka makan kek, buat je... 
Ikutlah tips yang saya berikan. InsyaAllah, menjadi.

SELAMAT MENCUBA.

Tiada ulasan: