Rabu, 27 Ogos 2014

Balik kampung

Assalamualaikum..


Pagi tadi Azz tanya suami, jadi tak nak balik tengok tokwan?  kalau jadi nak masak moi. Dia boleh aja... selepas dapat lampu hijau, Azz terus capai periuk dan masak. Dulu.. tokwan suka makan moi yang dimasak dengan udang kering dan serai. Azz cuma perasakan dengan sedikit garam dan sedikit pati santan. Hmm... sedap tu. Dah siap masak, kami bersiap dan terus pi.


Sejak pagi tadi, hujan turun dengan sangat lebat. Cuak juga nak tinggalkan rumah, takut banjir kilat. Tapi... suami  kata, tawakkal je lah. Hujan lebat ni berterusan hinggalah kami sampai ke kampung.


Sampai kat sana, cuma tokwan dan sepupu anak paklang yang tolong tengok-tengokkan tokwan, pendek kata jaga tokwan lah sepanjang minggu ni. Tokwan sebenarnya dah seminggu tak lalu dan tak mau makan. Dah puas depa semua pujuk, tapi tokwan makan sikit ja. Hari ni, kami pula nak pujuk tokwan makan. Kesian... dah seroh macam lepas raya hari tu. Nampak lemah sikit.


Semasa kami sampai, tokwan tidur. Mungkin sejuk kot, hujan lebat macam ni. Kami panggil tokwan. Dia buka mata, kami bersalaman. Kemudian dia nak tidur balik. Kami panggil tokwan semula dan tunjukkan bekal yang kami bawa. Azz tanya tokwan nak makan tak? dia beri isyarat, dia nak.. Jadi Azz pun cepat-cepat pi cedok moi yang Azz bawa tadi.


Suami dan sepupu tolong angkat tokwan dan bagi dia duduk dengan stabil. Azz beri tokwan minum air dulu. Tokwan cuma minum seteguk saja.. kemudian Azz suapkan sesudu moi tadi. Tokwan makan... tapi nampak macam sakit perut. Iya lah, dah tak makan, perut kosong, dah tentu berangin perutnya. Kesian juga, nampak perit sakitnya bila makanan dah masuk ke perut. Azz nak suap sekali lagi, tokwan dah tolak.... tapi kami pujuk juga berkali-kali. Tokwan makan juga satu suap lagi. Kali ketiga Azz nak suap, tokwan dah tolak. Dipujuk pun dah tak mau makan dah, dah angkat tangan. Tokwan dah tak mau makan. Dia nak tidur balik. Tak apalah.


Hujan masih lagi turun, kami tak duduk lama sebab dah pukul 11 pg lebih. Suami dah masuk kerja. Kami bersalam dengan tokwan dan bagitau dia kami dah nak balik. Azz habaq kat tokwan, nanti kami mai lain... kemudian kami pun beredar. Kami baru je nak masuk ke dalam kereta, paklang dan isteri dia balik. Tak jadi lah pulak... kami masuk semula ke dalam rumah dan berbual sekejap dengan mereka. Kemudian kami pun terus balik. Hujan pun nampak dah reda sikit dari tadi.


Alhamdulillah, kami sampai ke rumah dan syukur juga, walaupun semasa tinggalkan rumah tadi hujan sangat lebat tapi tak berlaku banjir kilat, Alhamdulillah.

Rabu, 20 Ogos 2014

Kenapa lama meyepi?

Assalamualaikum sahabat semua.
Kenapa menyepi?  aduhai...... bulan puasa dah kata sibuk, lepas raya pun sibuk lagi?  hmmm, ni kira tahap ..... ??  Bukan tak nak menulis kawan tapi (he.. he... alasan lg) bila laptop buat hal, aduh..... malas betul nak edit. Jadi susah. Lain yang Azz buat, lain pula hasilnya. Pening kepala. Dulu.... lambat, dah diservis. Sekarang macam nyanyuk pula. Alahai..... entah apa yang tak kena.

Bila menulis kat tablet ni, kecil tu dah satu bab yang tak boleh diubah-ubah dah. Masalahnya hanya pada gambar. Langsung tak boleh edit. Sekali masuk, ha..... besaq gedabak! bila edit kat laptop pula lain pula jadinya. Hm..... malas nak pikiaq la. Tu yang Azz tak menulis tu..... -salah satu alasan...

Bila anak-anak balik pula. Ha... depa la guna laptop. Ber- fb siang hingga ke malam bergilir-gilir. Emak nye....... ? tak dapat la.... sibuk je memanjang. Jadi 'chef' . Ada-ada je yang depa nak makan. Masak ni dah macam-macam menu tapi tak sempat nak ambil gambar pun - lupa pun ada. Biasanya lepas siap masak, teruih makan! dah ingat dah nak ambil gambar dulu ka apa. Dah habis masak, mengemas pula..... Kalau semua anak-anak ada kat rumah, pendek kata sibuk tu memanjang hingga ke malam. Banyak hal yang nak diuruskan, banyak aktiviti juga yang nak dilakukan. Masa tu lah nak balik kampung, masa tu jugalah nak bawa anak pi jalan-jalan.

Sibuknya..... itu lah dunia hidup Azz. Banyak masa untuk keluarga sahaja dan itulah juga perkara yang membahagiakan.... dan yang paling indah untuk dikenang. Saat kita membesarkan anak-anak dengan segala ujian dan cabaran. Inilah masanya, saat kita bersama anak-anak. Ketika mereka masih di sekolah rendah dan menengah. Mereka memang selalu dekat dengan kita kan...

Isnin, 11 Ogos 2014

Kisah sebiji tapawe










Aku, seorang gadis. Punya seorang abang dan seorang kakak. Kami menumpang kasih dan tinggal bersama tok dan tokwan sebelah emak. Kami tinggal di sebuah kampung berhampiran sebuah pekan kecil. Ayah dan emak dah lama berpisah. Ayah berkahwin lain, emak pun, tapi berpisah lagi kemudian berkahwin semula sekali lagi. Kami dapat seorang adik perempuan. Tak lama kemudian emak berpisah lagi....




Hidup kami memang susah. Menumpang hidup ibarat melukut di tepi gantang. Agaknya memang menyusahkan orang... hidup kami tidaklah sempurna dan lengkap, punya ayah dan ibu macam orang lain. Hidup kami seolah anak yatim yang tak pedulikan sangat.  Cukupkah keperluan, cukupkah kasih sayang, tiada siapa yang ambil tahu. Yang kami tahu, kami dibesarkan dengan suasana yang agak tegang. Keluarga yang kacau bilau dan selalu bertengkar. Sini salahkan orang sana, sana salahkan orang sini. Sungguh aku keliru dengan hidupku, sejak aku kecil lagi.




Emakku, hidup dalam dunianya yang tidak aku fahami. Sibuk menjaga adik yang seorang itu hingga aku terasa bagai tak diperlukan lagi. Asyik kena marah...... saja, yang kadang- kadang aku pun tak faham apa salah dan silapku. Apa yang tidak kena dengan diriku ini? Aku sering dimarahi sejak aku masih kecil lagi. Apakah aku yang bersalah? dilahirkan di saat hubungan emak dan ayah tegang. Entah lah..... kerana aku ini ber'binti'kan ayah, maka di****nya aku sesuka hatinya. Ayahku begitu, ayahku begini, adilkah padaku? Jika benar ayah silap, kenapa aku yang menjadi mangsa yang dipersalahkan? Begitu banyak persoalan dalam fikiranku.




Ayahku, hidup bersama keluarga barunya. Aku ini, entahkan dia ingat atau tidak yang aku juga anaknya. Biar lah. Penat aku berharap dan mengharap agar ayah mengingati kami. Dia juga hidup dalam dunianya. Seingat aku, ketika kecil hanya dua kali aku bertemu dengannya. Sekali ketika menjelang raya dan sekali lagi ketika aku sakit dan ditahan di hospital ketika aku berumur sembilan tahun. Selepas itu, aku tidak lagi bertemu dengannya.




Abangku yang sulung terpaksa bekerja sejak dari usianya masih muda. Terpaksalah dia bersusah payah demi sesuap nasi dia dan adik-adiknya. Sungguhlah abang banyak jasanya membesarkan kami semua.




Kami punya dua orang bapa saudara. Yang seorang itu dah lama berkahwin. Anak sulungnya cuma setahun lebih muda dariku. Yang seorang lagi berkahwin ketika aku masih di sekolah menengah. Isterinya dua tahun lebih muda dariku. Dia berasal dari kampung yang agak terpencil dan merupakan anak sulung dalam keluarganya.




Kelihatan di mata orang luar, keluarga kami kelihatan seperti orang yang berharta. Tapi yang berharta itu mereka..... bukan kami yang menumpang ini. Hidup kami serba serbinya sederhana. Sekadar cukup dengan apa yang ada.




Ibu saudara yang baru ini kelihatannya bagaikan terkena 'kejutan budaya'. Anehnya, apa sahaja yang aku buat, mahu dibuatnya. Apa yang aku beli, mahu dibelinya. Bahkan apa yang aku miliki mahu dia mengaku, itu haknya!  Tersentap aku! Apakah kerana dia anak sulung, dia mahu 'kawal' orang di sekelilingnya? Suaminya bolehlah! tapi tidak aku! dan aku tidak suka diperlakukan sebegitu terutama sekali oleh 'orang luar' seperti dia. Sungguh aku tidak suka dan aku memprotesnya!




Setelah bekerja di merata tempat akhirnya aku bekerja di sebuah syarikat ini. Gajiku tidaklah banyak. Hanya cukup makan. Yang paling penting, aku tidak mahu lagi menyusahkan abang. Biarlah aku bekerja dan berusaha mencari wang dari hasil titik peluhku sendiri.


Setelah punya duit sendiri, aku membeli sedikit keperluan diri dan salah satunya sebiji tapawe untuk aku mengisi makanan ketika aku tinggal di tempat kerjaku. Ketika pulang ke kampung untuk menyambut hari raya, aku telah membawa pulang beberapa keperluan diriku termasuklah tapawe tersebut.




Ketika di kampung, selepas raya, aku telah membersihkan tapawe ini dan beberapa barang dapur yang lain. Lalu ku biarkan ia di dapur. Setelah kering, aku pun mengambil semula barang-barangku untuk disimpan. Tapi setelah aku mengemas, ibu saudaraku datang bertanyakan hal 'tapawe'ku. Aku dah cakap, itu tapaweku dan aku telahpun menyimpannya.




Tak lama kemudian, suasana tiba-tiba jadi kecoh. Tok datang memarahi aku dan menyuruh aku memulangkan kembali 'tapawe' itu kepada ibu saudaraku. Eh! Aku katakan, kenapa pula aku dimarahi sedangkan 'tapawe' itu, aku yang punya. Aku beli di sebuah pasaraya di tempat kerjaku. Aku beli dengan wang hasil titik peluhku. Bukannya aku meminta dari sesiapa dan aku juga tidak pernah mengambil barang orang. Aku mengambil 'tapawe' dan aku tunjukkan bukti pada tok, bahawa barang itu memang aku yang membelinya dan tanda harganya masih kuat melekat di situ. Aku tunjukkan bukti pada tok dengan jelas sekali.




Tapi..... dia masih keras mengatakan 'tapawe' itu kepunyaan ibunya. Bahkan dia telah masuk ke bilik dan menangis semahu-mahunya, bagaikan budak kecil. Dimahunya juga-juga 'tapawe' itu dikembalikan kepadanya. Ya Allah...., dugaan apakah ini. Dia telah mengadu kepada bapa saudaraku, yang aku telah mengambil 'tapawe' ibunya. Akibatnya, teruk aku dimarahi mereka dan bapa saudaraku telah menuduhku 'iri hati' dan dengki kepada isterinya. Logikkah tuduhan itu? Apakah mereka tidak mengenaliku? selama ini aku membesar di hadapan mata mereka. Pernahkah aku mencuri? Aku tak punya ayah dan ibu untuk membelaku. Abang dan kakakku juga tidak dapat menolongku. Siapalah kami di sini... Sungguh aku terkilan dan berkecil hati. Perempuan ini telah merosakkan hubunganku dengan keluargaku.




Tok sekali lagi mahu aku mengalah dan berikan barang kepunyaanku kepada perempuan itu. Walaupun berat dan marah. Terpaksa juga  kuserahkan 'tapawe' itu demi meredakan keadaan. Kerana marah  'menyumpah' juga aku..... kalau dah nak sangat ambillah!! takkan ku halalkan duit titik peluhku!. Tamat! selepas itu bermasam mukalah aku kerana aku terasa telah ditindas dan dianiaya! Puaslah hati engkau wahai perempuan! Engkau telah 'mengawal' semua orang di dalam rumah ini mengikut kehendak mu.




Kini, aku telah dewasa. Berkahwin, punya anak dan semakin memahami makna hidup. Aku belajar menerima takdir hidupku. Meskipun aku sering ditimpa kesusahan sejak aku kecil, itu tandanya Allah sayangkan diriku. Allah mahu mengajarku menjadi orang yang kuat, tabah dan sabar. Aku belajar untuk redo dan menerima ketentuan Allah. Aku belajar memaafkan kesalahan diri sendiri. Aku juga belajar memaafkan orang lain. Aku belajar berlpang dada. Kini aku maafkan semuanya. Aku mahu hidupku tenang, aman dan tenteram. 




Kini, setelah hampir dua puluh tahun peristiwa itu berlaku dan aku pun telah lama melupakannya. Aku dikejutkan dengan berita dari bapa saudaraku sendiri. Dia sendiri yang telah menceritakan kepadaku dan suamiku, bahawa dia telah ditipu oleh abangnya, iaitu bapa saudaraku yang seorang lagi.




Mereka telah berkongsi satu bisnes yang modal itu dikeluarkan olehnya dengan menggadai sebidang tanah miliknya sebagai cagaran kepada pinjaman bank. Perjanjian telah ditandatangani oleh mereka berdua untuk membeli hartanah lain sebagai aset untuk dijual setelah harganya tinggi dengan meletakkan namanya sebagai penama utama.




Bertahun juga mereka menunggu aset mereka dijual sambil membayar pinjaman bank setiap bulan. Baru-baru ini mereka dikejutkan dengan berita dari seorang saudara, bahawa sebenarnya aset mereka telah pun dijual pada harga yang tinggi. Perjanjian telah dimeterai, penama telah bertukar ganti dan bayaran telah pun dilangsaikan. Beres dalam diam. Terkedu mereka. Bagaimana boleh jadi begitu?


Setelah diceritakan oleh saudara tadi, barulah mereka tahu bahawa sebenarnya dalam perjanjian terdahulu, bapa saudaraku telah 'menyerahkan' kuasanya sebagai penama utama kepada bapa saudaraku yang seorang lagi. Sungguh licik dia, menipu adik sendiri.




Apabila bapa saudaraku ini pergi menuntut wangnya, bapa saudara yang seorang lagi sering berdolak-dalik. Dia enggan memberitahu jumlah sebenar nilai aset yang telah dijual itu. Bahkan dia mengatakan aset itu adalah 'haknya'. Tragis bukan? Mereka hanya meminta supaya wang pelaburan mereka dahulu dikembalikan. Sekarang ini tiada apa yang boleh mereka buat. Perjanjian mereka dulu adalah 'hitam-putih' dan sah di sisi undang-undang.




Apabila hal ini diceritakan kepada kami akan kesusahan serta beban hutang yang mereka tanggung, kami pun terasa kasihan juga. Mereka mengatakan bahawa mereka telah dianiaya. Simpati.... tetapi kami hanya dapat mendengar luahan mereka sahaja. Kami pun tak dapat membantu.




Disebalik peristiwa itu, di hatiku terdetik, itulah yang mereka lakukan pada aku dahulu. Mereka telah menganiaya diriku dahulu tanpa mahu mempercayai kata-kataku. Kisah sebiji 'tapawe' itu muncul difikiranku. Allahu Akbar. Walaupun aku telah pun lama memaafkan mereka tapi Allah itu Maha Berkuasa. Aku hanya kehilangan hak pada sebiji 'tapawe' tetapi mereka telah kehilangan hak pada sejumlah wang dan tanah yang bernilai ratusan ribu ringgit. Aku pun terkedu. Apakah ini dugaan atau balasan Allah?  Aku sendiri sangat takut untuk memikirkannya.




Ya Allah, hambamu ini mohon perlindunganMu. Ya Rahman Ya Rahim. Engkau ampunilah akan segala dosaku, dosa suamiku, dosa anak-anakku, dosa ibuku, dosa ayahku, dosa keluargaku serta dosa sekalian umat islam yang masih hidup ataupun yang telah mati. Ya Allah, Engkau ampunilah akan segala dosa-dosa kami ini.




Semoga kisah ini menjadi panduan buat semua yang membaca. Jika barang itu memang kepunyaan orang lain, janganlah kita bermati-matian mengaku bahawa barang, mahupun harta itu adalah hak kita.  Ajarlah anak-anak kita dengan tegas akan hal ini. Sedikit kita mengambil hak orang, berganda-ganda 'orang' akan ambil hak kita nanti. Allah Maha Mengetahui. Takutlah akan balasan Allah. Berwaspadalah. Jadikan diri kita, anak-anak kita serta ahli keluarga kita adalah orang yang amanah dengan mencontohi sifat mulia nabi kita Muhammad SAW. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Wallahualam.








glosari:
tapawe = tupperware