Isnin, 30 September 2013

Laksa Kedah

Dengan Nama Allah Ya Rahman Ya Rahim

Segala Puji-pujian UntukNya atas segala Ni'amat KurniaanNya... Amin


Assalamualaikum semua...
Kali ni ummi nak kongsi satu resepi yang biasa tapi disukai oleh keluarga ummi.
Untuk anak-anak, atau sesiapa saja boleh rujuk resepi ni.
Manalah tahu kalau-kalau suatu hari nanti teringin nak makan, boleh cuba buat 
dan ubah suaikan lah mengikut citarasa sendiri nak tambah atau kurang bahan.

Ok, hidangan ni ummi sediakan pada petang jumaat lepas, sebagai hidangan makan malam.
Lagipun ikan yang abah beli masih banyak dan cukup untuk buat kuah laksa.
Bahan-bahan lain pun dah sedia ada. Jadi... jom masak!

Resepi Laksa Kedah - resepi keluarga
by : ummiaishah2278.blogspot.com

bahan-bahan:

1 bungkus laksa @ 2 kg laksa ready made- laksa dari tepung beras
1 kilo ikan temenung (kembung) / selayang / sardin / tamban - pilih ikan segar / baru
1 mangkuk cabai kering - dipotong2, buang sedikit biji dan direbus
1 biji bawang besar @ 10 ulas bawang merah
sedikit belacan
1 ikat daun kesum
1 batang bunga kantan
7-8 keping - asam keping (ikut keperluan)
garam kasar dan air secukupnya


Cara-caranya:

Langkah 1 : Merebus laksa 

1. Sebelum mula memasak kuah, rebuskan laksa tadi pada dapur yang berasingan. 
Merebus laksa memerlukan masa yang lama. Tunggu sehingga laksa lembut.



2.Untuk tahu laksa telah lembut atau tidak, ambil seurat laksa dan cuba putuskan dengan jari.
Hati-hati kerana laksa sangat panas...
Jika lembut, ia akan putus dengan mudah tetapi jika liat, ia perlu dimasak lagi.
Tapi jangan biar ia lembut terlalu lama, nanti hancur pula.



3. Setelah lembut, segera angkat dan toskan kanjinya. Masukkan air ke dalam penapis atau lalukan sahaja pada air paip untuk membuang baki kanji. Toskan semula dan biar ia menyejat.


Langkah 2: Membuat kuah 



1. Rebus ikan dengan sedikit garam @ 1 1/2 sudu besar garam kasar hingga didih dan masak. 
Sejukkan.
** rebus ikan lebih awal, sekurang-kurangnya 1 jam sebelum mula proses memasak kuah.

2. Asingkan isi dari tulangnya.

atau... jika anda pakar,

-setelah ikan direbus, sejukkan 20 -30 min.
-kisar ikan dengan air rebusannya dan tapis dengan penapis yang sesuai - penapis yang dapat mengasingkan isi dengan tulang ikan. 
-cara ini agak sukar dilakukan melainkan anda pakar atau telah biasa melakukannya
-jika tak pernah buat, buat cara biasa je.. lambat sikit tapi mudah dilakukan.

3. Ok, seterusnya, kisarkan isi ikan dengan air rebusan secukupnya sahaja.
Kalau air tak cukup, 'meraung' blender engkau.... tambahkan air supaya ia tak berat atau tak nak jalan. Kisar sehingga hancur tapi janganlah halus sangat... nanti tak rasa isi ikan pulak.
Masukkan ke dalam periuk.

4. Seterusnya, tengok bahan kat bawah ni, kisar semuanya.


ha... tengok, gambar selepas bahan dikisar 



5. Dah boleh mula panaskan periuk, pada api sederhana. Teruskan kerja anda dengan proses seterusnya.

6. Kisarkan tulang ikan sehingga halus dengan baki air rebusan. Jika tak cukup, tambahkan air biasa. Kemudian, tapiskan tulang dan ambil airnya sahaja. Kalau mahukan kuah yang likat, jangan masukkan air banyak sangat. Lihat dulu kepekatan kuah anda, tapi janganlah likat sangat pula..., cuma cair sedikit sahaja. Agak-agak cukup untuk isi ikan dan bahan lain nak mengembang nanti.

7. Masukkan bahan di bawah ini beserta garam kasar secukupnya, lebih kurang 2 camca besar.
Kalau tak cukup rasa nanti boleh tambah kemudian.
* simpan 1/4 bahagian lembut bunga kantan - untuk dihiris dan dicampur dengan ulam nanti


8. Setelah masukkan semua bahan, besarkan api dan tunggulah ia mendidih. 


9. Lihat kuah yang baru nak didih ni... Masa ni kata orang kedah jangan 'ralit' kena tengok, takut kuah meruap, nanti melimpah pula... kuranglah kesedapannya nanti. Jadi kena hati-hati... dan sentiasa perhatikan perkembangannya.



10. Apabila kuah telah mula mendidih, kembali  perlahankan sedikit apinya.
Biarkan ia masak sepenuhnya.


11. Lihat perubahan warna kuah. Ia berwarna sedikit merah dan seolah-olah keruh. Isi ikan pun dah kembang... Cuba rasa kuah anda. Pastikan rasa masin dan masamnya, secukup rasa - bukan terlalu masam tau! Jika perlu tambahkan apa bahan yang kurang. Jika suka, boleh masukkan bahan perasa tetapi awas! jangan masukkan gula kerana LAKSA KEDAH tiada rasa manis gula KECUALI rasa manis pada bawang dan juga kemanisan isi ikan sahaja.

12. Renehkan kuah pada api yang kecil lebih kurang 15 minit lagi. Tutup api.


Langkah 3 : Bahan pelengkap




1. Sediakan bahan pelengkap seperti di atas. 
Sebaiknya dipotong sebelum waktu makan untuk mengekalkan kesegaran bahan.
~. timun - dihiris nipis dan memanjang atau diracik halus
~. bawang besar - belah 2 dan dihiris melintang dan nipis
~. daun ulam - pilih salah satu atau boleh dicampur
   1/4 bahagian bunga kantan yang lembut, dihiris halus  - kalau tak suka tak payah letak
   dan digaul dengan daun kat bawah ni... 
   ulam raja, selom, pucuk putat, pucuk samak dan yang sewaktu dengannya
                           
~. limau nipis - dipotong 
~. untuk yang suka pedas - cabai burung atau cabai melaka



Langkah 4 :Cara menghidang 

 Masukkan laksa ke dalam mangkuk secukupnya - banyak mana nak makan la....
taburkan bahan pelengkap dan telur rebus. Curahkan kuah laksa yang panas ke atasnya. 

Perahkan sehiris limau.... harumnya...  Sedia untuk dinikmati.... kalau nak sedap lagi, tambahkan sedikit kicap pekat lemak manis. Confirm sangat enak dan nikmat....!!  
terliur juga ummi sambil dok bercherita ni.... emmm sedapnya... Jom makan!

* maaflah, gambar semasa hidang ni tak sempat nak snap
* teruih makan ja..... tak ingat dah nak ambik gambar ka apa.. maaflah ye..
* tapi korang.... mesti dah boleh bayangkan, macam mana.. kan ??
* laksa ready made bleh beli kat kedai laksa di Kuala Kedah / kat Hutan Kampung
@ buat sendiri je... guna acuan maruku yang kena pusing dengan tangan tu...

atau... mai makan je kat kedai kami...
kat Restoran Kak Jun, dekat Mini Stadium, Jitra.

Sekian,

SELAMAT MENCUBA



1 ulasan:

Nur haura afeeya berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.