SEJAK 6,000 tahun lalu, manusia menggunakan tumbuhan herba, daun hijau, buah-buahan mentah, akar dan kulit kayu untuk hidup sihat dan mengubati penyakit.
Nenek-moyang kita menjadikan amalan 'makanan sebagai ubat dan ubat sebagai makanan' dalam kehidupan seharian.
Seorang tabib perubatan India atau Siddha tempatan, Dr. M.S. Chelliah berkata, pada zaman awal, manusia sering menggunakan herba seperti halia, kunyit dan lada yang mempunyai nilai perubatan dalam penyediaan makanan mereka.
"Contohnya, kunyit boleh mencairkan kahak, manakala lada mampu melegakan sakit kerongkong dan jintan putih mengurangkan kepanasan perut. Sayuran daun hijau pula dapat mengurangkan pitam dan panas badan," katanya kepada Bernama.
Dr. Chelliah berkata, gaya pemakanan dan penyediaan makanan menggunakan herba, buah-buahan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman boleh meningkatkan ketahanan tubuh badan manusia.
"Perlu diingatkan bahawa bahan makanan semulajadi yang dijadikan ubat secara tradisional selamat digunakan dan lebih berkualiti. "Walaupun penggunaan tumbuhan herba ini agak lambat menampakkan kesan, namun ia memberi manfaat jangka panjang berbanding ubat-ubatan moden yang tidak menjamin kesihatan berterusan," ujarnya.
Ubatan moden
"Pengambilan ubat-ubatan moden mampu menghilangkan kesakitan dengan cepat, namun penyakit itu akan kembali. Berbeza dengan perubatan tradisional yang menghindar kesakitan semula," kata Dr. Chelliah yang melancarkan buku perubatan herba dalam bahasa Tamil di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau, perubatan tradisional berasaskan herba kurang mendapat sambutan di negara ini memandangkan kurang pengetahuan mengenai faedah tumbuhan tersebut terhadap kesihatan manusia. "Dengan adanya ubat-ubatan moden di pasaran masa kini, orang ramai sudah tidak ingat dan mahu mengamalkan pengambilan ubat-ubatan tradisional ini," katanya.
Sehubungan itu lelaki yang berpengalaman selama 15 tahun dalam perubatan Siddha ini menggesa agar pengamal perubatan tradisional memberi penerangan terperinci berhubung manfaat pemakanan sayuran hijau dan herba kepada masyarakat. Ini bertujuan meningkatkan pengetahuan umum mengenai kepelbagaian manfaat kesihatan melalui pengambian makan-makanan semulajadi tertentu ini.
Keberkesanan
Ditanya mengenai keadaan herba tempatan, beliau berkata, herba di negara ini kurang berkesan jika dibandingkan dengan herba-herba dari India dan Indonesia. "Terdapat pelbagai jenis tumbuhan herba di Malaysia tetapi ia mempunyai kandungan air yang lebih tinggi berikutan keadaan tanah yang tidak elok. Ini memberi kesan terhadap kemujaraban herba itu sendiri," jelasnya. Oleh itu, Dr. Chelliah meminta kerajaan supaya melaksanakan inisiatif memperbanyakan tanaman organik di lokasi-lokasi strategik seluruh negara agar sumber herba tempatan dapat dipelihara, sekaligus membangunkan industri herba negara.
"Sungguhpun pada masa ini kerajaan sememangnya banyak memberi perhatian terhadap industri herba dengan penyediaan pelbagai insentif, namun jika boleh, saya ingin mencadangkan satu lokasi sesuai bagi penanaman herba organik yang mampu memberi manfaat besar pada tahap kesihatan rakyat," cadangnya. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenalpasti industri herba sebagai sumber pertumbuhan ekonomi negara. Inisiatif itu adalah salah satu daripada projek permulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).
sumber: kosmo online 28 OGOS 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan