MEE REBUS |
Assalamualaikum...
SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA
Hari ni kita semua sambut hari raya.
Hari ni ummi masak resepi kesukaan keluarga.
Lagi pun, ini permintaan anak solehah ummi.
Dari minggu lepas lagi dah telefon dari asrama minta ummi masak mee rebus pada hari raya ni.
Pagi kelmarin, ummi pi beli barang dengan abah kat Pasar Jitra.
Ramainya orang hari ni. Nak beli daging pun kena tunggu giliran.
11.00 malam tadi, ummi siapkan barang dan terus mula masak.
Ummi suka masak kuah lebih awal, supaya rasanya lebih 'mesra' dan terasa. Kuah juga lebih pekat. Untuk anak-anak, ummi simpan resepi kesukaan mereka di blog ni supaya nanti, mudah mereka nak cari. InsyaAllah, suatu hari nanti anak-anak pasti akan belajar memasak makanan kesukaan mereka ini.
Resepi ni asalnya dari mak menakan ummi, Maktih Romah. Maktih cuma bagi bahan sahaja. Cara membuatnya ummi olah berdasarkan pengalaman memasak. Ummi tambah beberapa bahan lagi.
Inilah resepinya,
MEE REBUS - untuk hidangan 25 - 30 orang
oleh : ummiaishah2278.blogspot.com
Bahan-bahan:
bahan A - Stok daging:
1 kg daging
6-7 ketul tulang rusuk - bersihkan
4" halia - dihiris nipis atau di ketuk
1 batang serai - diketuk
2 sudu makan garam kasar
caranya:
1.Daging dibersihkan dan dipotong ketul.
2. Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk dan masukkan air hingga melebihi paras daging di dalamnya. Rebus hingga didih dan reneh sehingga ia lembut.
3. Air rebusan / stok daging ini akan digunakan untuk membuat kuah nanti.
bahan B - Kuah:
1 kg ubi keledek merah - dibuang kulit dan dipotong kecil * direbus - lembut
1/2 kg udang kecil berkulit lembut * dimasak dengan sedikit air dan garam
450g / 7-8 biji bawang besar dibelah 4 / 6
100g / 2 labu bawang putih
50 g / 1 mangkuk sederhana cabai kering - gunting pada pangkal dan buang sedikit bijinya
air secukupnya
1 tin sup tomato Kimball - pilihan ( tak buh pun tak pa )
1/2 botol / 250g sos cili kimball - pilihan "
4 camca makan tepung jagung
7-8 keping asam gelugor
3 camca makan gula
dan garam sedikit garam kasar
caranya:
1. Panaskan minyak dengan api sederhana. Goreng cabai kering sekejap atau hingga nampak sedikit rapuh. Angkat dengan segera. Jangan biar lama nanti hitam / hangit.
2. Goreng bawang besar, kemudian bawang putih sehingga wangi atau sedikit layu.
3. Kisar cabai, bawang, dan ubi 1 / 1 bahan dengan sedikit air sehingga halus.
Masukkan ke dalam periuk.
4. Kisar udang dengan air rebusannya sehingga halus dan tapis. Masukkan ke dalam periuk. Masukkan asam keping dan stok daging secukupnya ( tak perlu masuk semua, nanti hilang rasa manis udang). Masak hingga didih.
5. Masukkan sup tomato dan sos kimball, renehkan. Lihat tahap kepekatan kuah.
Pastikan kuahnya sederhana cair.
6. Tambahkan sedikit garam dan gula sesedap rasa. Pastikan ada sedikit rasa masam, rasa udang dan stok daging. * kalau suka boleh masukkan perencah HILAL
7. Bancuh tepung jagung dengan 1/2 cawan air, tuangkan ke dalam periuk. Kuah akan kelihatan sedikit berkilat dan pekat.
8. Dah siap. Hidangkan mee dengan bahan pelengkap dan kuah yang panas.
bahan C - Bahan Pelengkap:
5 bungkus mee - dicelur
sedikit tauge - dicelur
10 biji telur rebus - dibelah 4
6 biji tauhu - digoreng dan dihiris nipis
cabai besar - dihiris nipis
daun bawang dan daun sup- dihiris halus
4 - 5 biji limau nipis - di potong
bawang goreng
daging yang telah direbus tadi - dihiris nipis
SELAMAT MENCUBA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan